Sabtu, 12 Disember 2009

Saya yang menurut perintah

Salam dah sejahtera,

Masih lagi teringat, saya memulakan kerjaya penuh sebagai ahli farmasi pada tahun 2003. Penempatan pertama ialah di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) di Sg Buloh. Secara jujurnya, ada sedikit perasaan seram untuk menerima tawaran itu. Namun, sebagai kakitangan yang menurut perintah, saya teruskan juga.

Bermula
Saya rasa amat bernasib baik dapat bekerja di PKKN. Kenapa? Sebenarnya dari segi bilangan pesakit, amat kurang. Jika kita lihat tujuan asal PKKN ialah untuk membendung penularan wabak kusta di negara kita. Jadi pesakit yang ada adalah dari kalangan pesakit kusta yangg telah terawat. Ada juga pesakit luar, namun memandangkan Hospital Selayang dan Klang yang lebih besar, pesakit lebih suka ke sana. Kami di PKKN juga beruntung kerana kami diberikan belanja khas atas nama kusta. Jika dibandingkan bilangan pesakit dan jenis ubat yang digunakan, sememangnya peruntukan kami adalah termewah.

Pada masa yang sama, klinik pesakit luar, telah dipisahkan daripada PKKN. Memandangkan geografi daerah Gombak, PKD Gombak memerlukan lebih daripada seorang pegawai farmasi. Di sinilah saya dipinjamkan ke Poliklinik Kesihatakan Sg Buloh yang terletak di Kg Melayu Sg Buloh bersebelah Makmal Kesihatan Awam. Boleh dikatakan saya antara antara terawal di situ. Selain itu, JKN Selangor telah memulakan perolehan ubat secara terus daripada pembekal. Sebelum ini, pembelian ubat dan alatan dibuat oleh stor integrasi yang di lakukan oleh pihak stor di PKKN. Kerana kaedah perolehan baru ini, kami di farmasi sedikit kecewa kerana stor kami di kebanyakan klinik kesihatan tidak akan mampu menampung bekalan jika dihantar terus. Oleh itu, sepanjang masa kami terus bersesak dengan kotak dan botol di ruang stor yang sempit. Persoalan yang kerap ditanya oleh pembantu farmasi ialah, siapa yang reka bangunan ni? Tiada pegawai farmasi bersama semasa reka bangunan ni? Jadi soalan-soalan sebegini amat susah untuk dijawab. Apa yang saya mampu hanya teruskan usaha menasihat dalam menggunakan segala luang dan ruang yang ada selagi boleh. Jangan harapkan bangunan ni boleh berubah dan diubah dalam jangkamasa terdekat. Jadi terimalah seadanya. Selepas sekian lama, baru saya tahu sebenarnya ada pegawai farmasi yang terilbat, tapi mungkin disebabkan limitasi kewangan, apa yang benar-benar perlu diabaikan.

Hampir setahun setengah saya di klinik kesihatan. Saya terdengar, Hospital Selayang memerlukan pegawai lelaki bagi menjalankan perkhidmatan baru iaitu, Rekonstitusi Ubat Sitotoksik atau CDR. Saya pun mencuba nasib. Semasa itu dalam kepala hanya untuk mendapatkan tempat kerja yang lebih dekat. Cuba bayangkan, kami tinggal di Bukit Jalil, saya bekerja di Sg Buloh dan isteri di Kuala Lumpur. Setiap hari perjalanan kereta kami sejauh 100km pergi-balik. Belum kira masa kami, bertolak awal dan balik lewat. Secara jujurnya, kad kedatangan saya 50% akan merah kalau tanpa bantuan staf saya. Bayangkan jalan dari Kepong ke Sg buloh yang dalam pembinaan. Sesak yang amat.

Alhamdulillah, saya akhirnya dipindahkan ke Hospital Selayang (HS), dengan syarat bertugas di unit baru CDR. Di sini kisah baru bermula.

Menyahut Cabaran
Setelah melaporkan diri di HS, saya diletakkan di Unit CDR. Walau bagaimanapun, fasiliti masih dalam pembinaan. Oleh itu, saya akan mengambil alih tugas pegawai farmasi di stor memandangkan dia akan bertukar ke Kelantan kerana mengikut suami. Kiranya dia balik kampung saya lah. Sambil membantu Pn Fatimah sebagai ketua di stor, saya juga mengambil tahu tentang ubahsuai fasiliti CDR bersama Pn Zainon. Tapi yang paling saya kagum ialah penggerak utama penubuhan unit ini iaitu, Mr Wong KT dan Datin Fadilah. Segala perancangan sejak sebelum saya melaporkan diri nampaknya berjalan lancar. Kalau tidak salah, mereka yang terlibat sebenarnya ada juga pengalaman tapi mungkin tidak terjerumus ke bidang ini. Namun, pengalaman yang ada jika dihayati dan dihargai akan membantu dalam pengurusan tertinggi.

Disamping itu, kami di HS terpaksa bergerak ke Farmasi Pesakit Luar bagi membantu mencapai tetapan masa yang terbaik. Di sini, saya selalu berfikir, memang sebagai satu jabatan kita perlu saling membantu, namun, bagaimana yang dibantu menghargai bantuan itu. Bukan bermakna bantuan itu perlukan balasan, tapi sudah menjadi adat melayu, menghargai bantuan orang lain. Apa yang terjadi, bilamana bantuan tiba, yang dibantu akan mengambil maas utk berehat. Jadi di situ,, tidak nampak mana-mana kelebihan tenaga kerja dalam mencapai masa target. Seramai 3 bantuan sampai seramai 3 yang dibantu akan berehat. Bagi saya adalah lebih baik dimasa itu, semua bertungkus lumus sehingga suasana reda dan mereka boleh berehat selepas itu.

Kemballi kepada tugas saya. Sepanjang ubahsuai fasiliti CDR itu, saya turut berkenalan dengan kontraktor iaitu En Tarmizi. Seorang ahli farmasi yang telah menjebakkan diri dalam bidang perundingan dan pembinaan bilik bersih. Saya difahamkan bahawa, pembinaan di HS adalah kontrak pertama beliau selepas mendapat pengiktirafan daripada Bahagian Perkhidmatan Farmasi. Pendek kata, bidang ni masih baru dan tak ramai yang berkecimpung. Namun, masa yang berlalu menunjukkan, dimana ada ruang, di situlah kapitalis akan datang. Saya boleh menerima jika mereka ini lebih baik dari yang sedia ada . Tapi tidak seperti yang disangkakan. Memandangkan mereka ini mempunyai 'kabel gentian optik' dengan pihak atasan, maka pengiktirafan pihak berkuasa sudah menjadi sijil sahaja. Tiada yang istimewa. Selalunya kerja mereka yang tidak diiktiraf ini tidak mencapai piawai yang ditetapkan dan dalam kebanyakan kes, perlukan baikpulih walaupun belum digunakan. Di sini, melibatkan kos baru. Jadi setiap kali diminta cadangan kontraktor yang membuat bilik bersih, kami hanya memberi panduan supaya mengambil yang telah diiktiraf.

Perkhidmatan CDR di HS menjadi keperluan selepas sekian lama rawatan kemoterapi dan lain-lain yang menggunakan agen sitotoksik disediakan di HS. Bekalan sebelum itu, diperolehi dengan kerjasama Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia. Perkhidmatan ini kami terpaksa bayar iaitu kos ubat, penyediaan ubat dan kos peralatan pakai buang. Jika dijumlahkan termasuk kos pengangkutan, kami amat memerlukan perkhidmatan ini di HS sendiri. Selepas itu, kami pula yang menjadi pusat tumpuan memperolehi bekalan dan tumpangan bagi sediaan sitotoksik. Antara hospital yang mendapat khidmat kami ialah, Hospital Kajang, Serdang, Sg Buloh dan Temerloh. Antara yang menumpang fasiliti ialah Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Ampang. Itupun jika berlaku baikpulih pada fasiliti di HKL.

Tidak sampai setahun, perkhidmatan kami telah menjadi buah mulut ramai. Maka terhasillah pelbagai polisi samada untuk kegunaan dalam hospital dan juga untuk dikongsi dengan hospital lain. Kami juga telah dicadangkan sebagai pusat latihan bagi hospital yang ingin memulakan perkhidmatan CDR. Jadi jadilah kami sebagai jurulatih. Di masa itu, terasa sangat bebanan kerja. Cuba bayangkan, bebanan kami sedia ada dengan 2 orang tenaga kerja, ditambah dengan memberi latihan kepada pegawai dan penolong pegawai farmasi yang dihantar oleh KKM, pegawai farmasi provisional HS dan hospital sekitar, penolong pegawai farmasi pelatih daripada beberapa kolej dan latihan kepada pelajar farmasi UiTM.

Berakhir
Bermula April 2004 kami telah memulakan khidmat kami sehingga sekarang. Saya telah terjebak dalam bidang ini bermula dari situ sehingga Julai 2008. Ini kerana saya ingin memberikan sokongan kepada isteri yang menyambung pelajaran di Australia, di mana saya berada sekarang. Dari proses pembinaan sehingga perkhidmatan yang boleh dikatakan cemerlang, perkhidmatan ini telah mendapat sokongan yang penuh daripada ketua jabatan. Saya ucapkan ribuan terima kasih kepad En Wong Kok Thong, Datin Fadilah Othman, Pn Zainon Abudin, Dr Richard Lim boon Leong, Pn Norhidayah Yahaya dan lain-lain secara tidak langsung memberi panduan, ide dan sokongan sepanjang saya di CDR.

//Asmarul

Tiada ulasan: