Isnin, 18 Oktober 2010

Komunikasi melalui SMS & Hubungi Kami

Khidmat Pesanan Ringkas

Tut..tut..tut..tut...Telefon berbunyi menandakan satu SMS masuk. "Ayam dah cuci...apa perlu sy buat sblm masuk garam? Nak msk kari ayam ni... Tq". Antara gambaran SMS yang berkaitan kali ini. Cuba bayangkan kita sebagai penerima SMS ni. Apa anda akan buat?
  • Balas SMS.
  • Buat diam.
  • Terus padamkan.

Penghantar SMS ni saya kategorikan sebagai penyalahguna SMS. Kenapa? Pada pendapat saya, jika perlukan sebarang maklumat terutama yang melibatkan huraian, apa salahnya penghantar mengganti SMS tu dengan membuat panggilan. Maklum saja...dah SMS ni ada huraian mesti ada yang tidak jelas disebabkan tulisan ringkas dan terhad dan ini menjurus kepada SMS susulan untuk lebih penjelasan. Jika panggilan telefon, huraian pasti akan lebih jelas dan sebarang persoalan juga boleh terus dilontarkan dan jawapan mungkin akan diterima pada masa yang sama.

Dari segi kos, penghantar SMS mungkin tidak berkira disebabkan keperluan mendapatkan maklumat. Namun cubalah letakkan diri anda pada diri penerima SMS, apakah kos 30 sen itu dikeluarkan ikut keperluannya? Tidak, dalam hal ini keuntungan hanya berpihak kepada pihak penghantar sahaja. Tetapi kos terpaksa ditanggung oleh kedua-dua pihak.


Hubungi Kami

Frasa ini selalu kita lihat pada laman web terutama organisasi yang menawarkan diri untuk menjawab sebarang persoalan daripada pelawat. Begitu juga akan ada nama pegawai yang perlu dihubungi jika kita berkomunikasi dengan organisasi yang besar. Berapa kali kita menggunakan kemudahan ini dan dibalas semula? Pengalaman saya di Malaysia hanya 50% akan dibalas semula dan 90% dibalas semula di Australia. Peratusan dibalas semula di Malaysia akan berkurang jika dihantar atas kapasiti individu dan bukannya sebuah organisasi.

contact Pictures, Images and Photos

Susah sungguh hendak faham, kenapa mesti ada organisasi yang begini? Jika betul tiada masa tidak cukup kakitangan, tolong buang frasa 'hubungi kami'. Sesuatu yang dilihat sebagai meniru orang lain, tetapi sendiri tiada upaya untuk buat. Lebih baik jangan buat.

Aku juga menyertai yahoo group. Ada sekali penghantar email, bertanya untuk menyewa rumah kepada semua ahli . Isteri aku membalas email tersebut (secara peribadi) menawarkan rumah kami. Tapi sehingga sekarang, masih tiada balasan samada menerima atau menolak. Awalnya kami anggap mesti dia sibuk sementelah dia juga pelajar. Namun bila melihat email-email dia masih timbul di yahoo group, kami menjadi pelik. Kenapa dulu bertanya, tapi bila dijawab, kenapa tidak dibalas? Sibuk sangat ke dia untuk menjawab email itu yang (bagi aku) lebih penting dari  meng'forward' artikel ke group.

Kesimpulan

Jadi saya ingatkan diri saya dan pembaca, nilai dulu sebarang SMS yang ingin dihantar. Apa tujuan dan siapa yang untung daripada komunikasi melalui SMS itu? Jika untuk kepentingan diri atau bertujuan mendapatkan maklumat, sila gunakan panggilan telefon. Mungkin kekasih anda tidak kisah tetapi sahabat anda akan terasa bebannya.

Begitu juga jika kita bertanya dan kemudahan itu sememangnya tersedia, cubalah penuhi kehendak orang itu. Bukan suka-suka orang lain hendak menghubungi jika tiada perkara penting. Selain itu jawab dulu mana-mana email penting dari meng'forward' artikel (kadang kala belum tentu kebenarannya). Jika tiada usaha meletakkan keutamaan susuatu perkara, ini menjelaskan sendiri, anda bukanlah pelajar atau organisasi yang baik.

Asray

Sabtu, 2 Oktober 2010

Tok Pa di Brisbane

Pada 30 September lepas, Khazanah Holding diketuai oleh Naib Presiden telah mengadakan pameran dan temuduga pelajar yang akan tamat belajar. Peluang juga terbuka kepada warga Malaysia yang ingin balik berkhidmat dan kepada pasangan pelajar yang bakal kembali ke Malaysia. Program bermula jam 0900 sehingga petang di Colin Clark Room di UQ. Tinjauan pagi didapati sesi temuduga telah bermula dan beberapa calon sedang menunggu.

Pada sebelah malamnya diadakan pula sesi perjumpaan dan dialog antara pelajar dan warganegara Malaysia di  bumi Brisbane dengan Dato' Seri Mustafa Muhamad, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang sedang dalam rangka promosi Malaysia di Australia.

Sesi dimulakan dengan jamuan makan malam diikuti ucapan oleh wakil pelajar seterusnya oleh Tok Pa. Majlis diakhiri dengan sesi dialog. Majoriti soalan jenis perbandingan antara sistem di Malaysia dan Australia. Antara soalan ialah berkenaan sistem pengangkutan awam, penetapan gaji minima dan kebebasan media di Malaysia. Pihak pelajar juga telah menyediakan memorandum untuk diserahkan kepada menteri.

Majlis bersurai hampir jam 2300. Selepas itu, Tok Pa di pelawa menjamu laksa dan laksam (kegemaran beliau) di rumah saudara Ruji yang pernah menjadi pegawai khas kepada Tok Pa.

AsaazA

Jumaat, 1 Oktober 2010

Mencuba Nasib (Perjalanan cari kerja)

Selepas (amat kecewa) tak dapat sambung belajar dan masih ada lagi setahun di bumi Brisbane, aku ambil keputusan mencari kerja. Ada 3 sebab utama. Pertama untuk tambah pendapatan selain elaun yg diterima. Kedua untuk kembalikan semula ilmu yang dah tertanam dalam kepala ini dan ketiga untuk ambil peluang mengutip pengetahuan di sini. Mana tahu nanti jika ditakdirkan masih dalam bidang yang sama, aku boleh bawa pengalaman negara maju ke Malaysia.

Jadi hari Rabu terserempak dengan iklan jawatan kosong sebagai Pharmacy Technician. Mungkin dengan resume yang poyo, pada hari Khamis aku terima panggilan dari agensi pekerjaaan dan dipelawa untuk temuduga. Temuduga pada hari ni (Jumaat) pukul 3 petang.

Sebenarnya bukan temuduga kerja, tapi lebih kepada perincian calon sebelum dibawa ke majikan yang sesuai. Semasa sesi tersebut, perkara seperti taraf pendidikan diperiksa dengan teliti. Pengalaman kerja perlu diterangkan dengan tersusun dan terperinci seperti "apa aktiviti kamu selepas meletak makan tengahari dalam peti sejuk?". Masa tu nak je cakap, saya tak bawa bekal tapi beli kat kantin. Tapi ini antara contoh perincian yang perlu diterangkan oleh peserta.

Selain itu, status visa juga diberi perhatian. Jika visa tidak dibenarkan bekerja atau terhad, maka agensi tidak akan meneruskan permohonan ke peringkat seterusnya. Jadi terfikir kenapa kerajaan Malaysia bertindak seperti Australia. Sebab polisi inilah, tiada warga asing bertebaran dan peluang kerja warganegara sendiri terjamin.

Apa-apa pun permohonan aku akan diproses dan majikan yang mungkin ialah Mater Hospital Pharmacy. Jadi lepas ini aku kena cari maklumat berkenaan Mater ni. Mana tahu jika dipanggil bertemuduga, aku sudah bersedia. Agensi itu cakap gaji yang ditawarkan AUD 40,000 setahun atau hampir seratus dolar setiap jam aku berkerja. Cuba tukar ke ringgit. Orang kata masyuk la.

Doakan aku berjaya. Amin.

AsaazA

Sabtu, 11 September 2010

Raya di Brisbane 2010

Salam Syawal,

Syukur kita setelah 29 hari Ramadhan (kat sini lewat sehari puasa) dah masuk Syawal. Solat sunat hari raya diadakan di padang awam dekat Munro St. Awal...pukul 7pg. Maklumlah mana ada cuti kat sini. Kena pula hari kerja ada yang ada kuliah, presentation dan sebagainya. Ramai juga yang lewat sebab makluman waktu solat agak lewat. Tapi kira bagus sebab ramai yang datang walaupun lewat dan hanya sempat dengar kutbah. Bermacan bangsa ada sini...dari arab, melayu, indonesia, pakistan termasuk juga orang tempatan.

Bertakbir raya. Cuaca pun selesa.

Beramah mesra sesudah kutbah.
Itu la alas yang digunakan selama ini. Jangan lupa tolong lipat kain tu.

Lepas solat kami serbu rumah terbuka. Ada 3 rumah terbuka pada hari raya pertama dan 2 rumah pada hari raya ke-2. Terima kasih kerana menjemput kami sekeluarga.

Rumah pertama, 78, Depper St. Ada lemang...
Tengok tu ramai datang.
Rumah ke-3, 17 Bayliss St
Rumah ke-2 ialah Princes St, tapi leka makan tak ingat amik gambar. Apa-apa pun terima kasih atas jamuan. Lain kali boleh buat lagi. Lepas ni jangan lupa datang anjuran kami pula bersama rakan lain di Indooroopilly.

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir & Batin.

Rumah terbuka sempena AidilFitri anjuran kami bersama rakan lain bertempat di 131, Clarence Rd, Indooroopilly pada 25 September 2010 dari 11 pagi hingga 4 petang. Tapi malam tu pun masih ada pengunjung yang datang. Antara menu sate ayam, soto, bihun sup, dendeng, nasi putih, asam pedas daging, kek coklat dan kuih raya.

Antara foto yang sempat diambil sambil melayan tetamu. Lebih tu sila ke ruangan Multimedia.


Jamuan sempoi duduk beralas

Jiran sebelah pun bagi guna laman rumah dia.

Handball time.

Tetamu terhormat, Mr Brandon.

Aktiviti kanak-kanak, main game.

Menjamu selera sambil berbual.

Kek coklat dah tinggall sikit berserta kuih raya.

Antara tetamu yang hadir.

Amalan Pengilangan Baik (GMP)

Pendahuluan
Susur galur kewujudan GMP telah kita ketahui, kali ini saya akan cuba menerangkan fungsi dan kandungan dalam GMP. Secara spesifik saya akan cuba huraikan kandungan panduan yang dikeluarkan oleh PIC/S. Secara definisi, GMP ialah sebahagian daripada jaminan kualiti bagi memastikan produk akhir yang dihasilkan adalah sentiasa terkawal sesuai untuk kegunaan dan spesifikasi yang telah ditetapkan.

Fungsi GMP
Kita memerlukan GMP sebagai petanda aras kepercayaan kita kepada pengeluar sesuatu produk. Ini boleh digambarkan dengan kepercayaan pesakit mengambil ubat yang ditetapkan oleh doktor. Seterusnya kepercayaan pesakit mengambil ubat yang dibekalkan oleh farmasi dan yang penting kepercayaan farmasi terhadap ubat yang dibekalkan oleh pengilang dan pembekal. Jadi kepercayaan ini terletak pada kualiti. Inilah yang menjadii tujuan utama GMP diwujudkan.

GMP
Panduan GMP terkini (current, cGMP) mengandungi 9 perkara dan beberapa annexes berkaitan aktivit yang dijalankan. Diingatkan, ini hanya berdasarkan panduan yang dikeluarkan oleh PIC/S. Jika rujukan anda lain dari ini mungkin ada kesamaan dan sedikit perbezaan. Mari kita selidik setiap satu bahagian secara ringkas.


Pengurusan Kualiti

Pengurusan kualiti merangkumi semua perkara yang mempengaruhi kualiti produk akhir.Di dalamnya terdapat GMP itu sendiri, kawalan kualiti, penilaian kualiti produk dan pengurusan risiko kualiti.

Dalam GMP diterangkan keperluan khusus untuk produk medisinal. Antara yang ditekankan ialah keperluan proses pengilangan produk secara jelas serta arahan dan prosedur adalah jelas dan jika terdapat perubahan dalam proses ini, validasi perlu dijalankan sepuaya kualiti produk akhir adalah sama seperti yang disarankan. Selain itu disenaraikan juga keperluan sebuah fasiliti pengeluaran mengikut GMP disamping perihal rekod sebelum, semasa dan selepas pengeluaran.

Kawalan kualiti pula menyenaraikan keperluan asas kawalan kualiti seperti fasiliti, personel, proses yang telah divalidasikan, kaedah persampelan, rekod dan rujukan. Penilaian kualiti produk pula menyenaraikan antara proses dan bahagian yang perlu disemak semula yang bertujuan untuk mengekalkan kualiti produk. Semak semula ini perlu dilakukan samada atas dokumen, proses, kelemahan, kuasa pelepasan produk dan sumber bahan mentah terutama jika pembekal selain pembekal yang asal.

Komponen terakhir pengurusan kualiti ialah pengurusan risiko kuliti. Ini adalah suatu langkah proaktif atau retrospektif penilaian segala risiko yang mungkin terlibat dalam proses pengeluaran. Langkah ini perlulah berdasarkan pengetahuan saintifik dan pengalaman dan berkait rapat dengan keselamatan pesakit.

Personel

Inti pati semua ini terletak pada personel yang akan menjalankan tugas. Oleh itu, amat penting untuk personel itu memahami perkara ini dan seterusnya memahami semua langkah seperti kebersihan dan arahan yang berkaitan dengan keperluannya.

Secara umumnya, perlu ada bilangan personel yang mencukupi dan berpengalaman. Ini bertujuan untuk tidak terlalu membebankan seseorang sehingga menjejaskan kualiti. Perlu juga ada carta organisasi yang menerangkan dengan jelas tanggungjawab. Tanggungjawab ini pula boleh diperturunkan kepada kakitangan lain yang layak.

Diterangkan lagi keperluan personel utama dan tanggungjawab mereka. Ditekan kan perlu ada ketua pengeluaran dan ketua kawalan kualiti yang tidak berkaitan antara mereka dan bukan mereka yang terlibat dalam meluluskan produk untuk pasaran. Tanggungjawab ketua-ketua bahagian ini disenaraikan yang terdiri daripada tanggungjawab yang berasingan dan tanggungjawab yang dikongsi bersama.

Latihan kepada personel menjadi tanggungjawan ketua bahagian dan perlu dibekalkan terutama tentang amalan pengilangan baik serta latihan spesifik dengan tanggungjawab personel tersebut. Personel perlu juga sentiasa dinilai keupayaan menjalankan tugas dan direkodkan. Pelawat yang tidak terlatih sebolehnya dielakkan memasuki kawasan terkawal.

Kebersihan diri menjadi keperluan penting kerana boleh memberi kesan kepada kualiti produk. Program kebersihan perlu diadakan dan dijelaskan dan diikuti dengan patuh oleh kakitangan. Menjadi tanggungjawab ketua bahagian untuk mempromosikan kebersihan diri. Juga tanggungjawab pengeluar untuk mengadakan pemeriksaan kesihatan personel yang baru bertugas dan juga secara berkala mengikut keperluan.

Kakitangan perlu faham bahawa amalan kebersihan yang perlu diamalkan antaranya bebas penyakit berjangkit, memakai pakaian perlindungan, tidak makan dan minum dalam kawasan pengeluaran dan penggunaan kemudahan mencuci tangan.

Premis dan Peralatan

....bersambung.

    Selasa, 17 Ogos 2010

    Badan Pengawalan Kualiti Produk Farmaseutikal

    Kata bijak pandai 'Jika kita nak lebih faham sesuatu, perhatikan permulaan dan perkembangannya'. Jika saya boleh pendekkan, belajar sejarah sesuatu akan lebih memudahkan kita memahami perkara itu. Begitu juga dengan Amalan Pengilangan Baik (GMP singkatan inggeris). Kali ni saya cuba bincangkan perkembangan dalam GMP ini dan akan cuba kaitakn dengan berbagai panduan oleh badan-badan penyelaras. Selepas tajuk ini, jangan ada lagi mempersoalkan peranan badan pemantau dan juga kepentingaan GMP dalam penghasilan produk farmaseutikal samada industri atau hospital.

    Tragedi
    Tragedi  menjadi pemangkin kepada perkembangan GMP. Antara tragedi yang menjadi panduan ialah, 1800'an kehadiran eliksir ajaib yang boleh menyembuhkan pelbagai masalah kesihatan tetapi mendatangkan masalah lain. Kewujudan Tetanus bacilli hidup dalam vaksin antitoksin diphtheria yang menyebabkan kematian 12 orang kanak-kanak (1902). Penghasilan buku The Jungle yang menunjukkan cara pemprosesan daging yang amat buruk (1906). Tragedi eliksir sulfanamide yang amat terkenal pada tahun 1937 yang telah menyebabkan kematian lebih 100 orang kanak-kanak. Kesan dari ini ialah kematian orang ramai dan dari situ terbitlah peraturan dan akta yang membawa kepada penghasilan yang lebih baik. Tujuan semua ini adalah untuk kebaikan pengguna. Kejadian sebenar yang membawa kepada kewujudan GMP ialah apabila hampir 300 orang mati pada tahun 1941 disebabkan oleh kehadiran sedative phenobarbitol dalam tablet sulfathiazole dan kesan pengambilan thalidomide di eropah (1960).

    GMP
    Pada 1963, peraturan GMP telah dihasilkan dan dikembangkan sehingga 1970 menghasilkan GMP yang kita kenali.

    Di USA, Food & Drug Administration (FDA) adalah badan yang memantau GMP. Di Eropah pula oleh EU-GMP dan secara kasarnya sama seperti yang digunapakai oleh WHO. Di Malaysia, GMP diselia oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    Disebabkan amalan pengeluar yang akan mencari sumber tenaga kerja dan bahan mentah yang murah, penyelarasan dari segi kualiti perlulah dipatuhi oleh semua pihak tidak kira di negara mana. Oleh itu, EU-GMP telah melihat keperluan ini dan bersetuju menyelaras perkara ini. Maka terhasillah, Pharmacutical Inspection Convention dan Pharmaceutical Inspection Co-operation Scheme (PIC/S). Dua badan ini telah diselaras dan bergerak bersama-sama.  Maklumat lanjut boleh layari laman ini. Penyertaan negara-negara selain negara eropah membolehkan produk farmaseutikal dari negara lain yang mengikut piawai ini boleh dipasarkan di Eropah dan sebaliknya.

    Rumusan
    Tragedi yang lepas telah diambil iktibar oleh pihak berkuasa dalam membentuk suatu sumber farmaseutikal yang lebih baik kepada pelanggan. Kini peranan pihak berkuasa membentuk peraturan dan panduan telah berkurang. Peranan ini telah diambil alih oleh pengeluar sendiri dalam bersaing memberikan produk yang lebih berkualiti kepada pengguna dengan cara membina sistem atau proses yang lebih baik dari skop yang ditetapkan oleh GMP. Akhirnya proses atau teknologi yang baru ini akan digunapakai dalam membangunkan panduan GMP yang lebih baik di masa depan.

    Rabu, 12 Mei 2010

    Peralatan Bilik Bersih

    Jika sebelum ini saya nyatakan bilik bersih itu sebagai 'alat. Maka dalam alatan besar itu akan ada beberapa alatan lain yang penting untuk menjalankan fungsi bilik tersebut.

    Perlu ingat, pembinaan bilik bersih adalah cara untuk kita mengadakan persekitaran yang sesuai bagi proses aseptik. Dalam situasi lain, bilik bersih mungkin tidak diperlukan. Jadi dalam persekitaran yang terkawal ini peralatan juga perlu bersesuaian dan mudah digunakan.

    Secara umumnya dalam bilik bersih mengandungi kabinet aliran laminar (KAL) yang menjadi tempat utama persediaan.

    Bangku,
    Troli
    Sinki
    Pengering tangan
    Kabinet simpanan
    Peralatan mencuci

    Semua peralatan ini perlulah selari dengan konsep tidak menjana dan mengumpul habuk. Peralatan ini juga perlu diselenggara supaya sentiasa berada dalam keadaan yang baik.

    //Asmarul

    Sabtu, 3 April 2010

    Pemaju Yang Tak Maju (Penipu Plak Tu)

    Buat renungan bersama dan ambil iktibar daripada kejadian ini.

    Semenjak kahwin kami mula menyewa rumah, bermula di Bukit Jalil. Selepas beberapa lama berkerja, kami yakin dan bercadang untuk membeli rumah sendiri. Maka, hasil pencarian kami, ada satu pameran perumahan di Stadium Nasional Bukit Jalil. Setelah melihat pamplet dan ambil masa sehari untuk bincang, esoknya kami pergi semula ke pameran untuk booking rumah. Rumah jenis Service Apartment. Jenis yang jarang ada di Malaysia.

    Setelah 1/2 bayaran booking dibuat di tapak pameran, kami perlu jelaskan 1/2 lagi sebagai confirmation kami. Jadi bayaran perlu dibuat di pejabat jualan Capital Lane (CL) di Sri Gombak. Masalah pertama timbul dimana, nama kami tidak tersenarai dan unit kami beli sebenarnya telah dijual. Maka setelah kami berkeras dan tunjukkan resit sebagai bukti, maka kami ditawarkan unit lain dan hanya perlu jelaskan booking 1/2 je lagi. Kami dimaklumkan bahawa agen jualan telah lari kerana menipu dan laporan polis telah dibuat. Semasa keluar dari pejabat jualan kami terpandang notis mengenai makhluk yang menipu kami. Harapan kami, tiada masalah lain lagi selepas ini.

    Kunjungan kedua ke pajabat CL adalah untuk menandatangani Perjanjian JualBeli (S&P) dan pemaju menyediakan khidmat guaman percuma kepada kami. Selepas itu diikuti usaha kami untuk mendapatkan pembiaya. Kami berjaya mendapatkan pembiaya.

    Tunggu la kami dari akhir 2004 hingga 2007, bilamana projek masih tak siap, sedangkan dalam perjanjian mesti disiapkan dalam tempoh 36 bulan dari tarikh perjanjian. Selepas sekian lama tiada tunggu, kami mengambil keputusan mendapatkan penjelasan daripada pemaju. Baru diberitahu, projek diarahkan berhenti kerana kejadian tanah runtuh berdekatan. Katanya arahan MPS dan untuk meneruskan projek,CL kena betulkan cerun. Masalah cerun ni sebenarnya dah berlanjutan sejak sekian lama. Lama tu bermaksud sejak pembinaan rumah teres lagi iaitu fasa 1,2 & 3. Jadi perkara ini terus tergendala. Bila ditanya apa tindakan? CL jawab sedang berusaha untuk mendapat pelepasan daripada MPS. Bila ditanya kenapa tak betulkan je cerun tu? Jawabnya, tak mampu kos RM2juta, mana CL ada duit.Lagipun tu tanah kerajaan. Kiranya sebarang pertanyaan mesti akan ada jawapan yang kadang-kadang terasa jawapan nak mengelak atau bahasa lainnya alasan.

    Penantian berterusan sehingga isteri saya ingin menyambung pelajaran. Kami sekeluarga akan bermukim di Australia selama 3 tahun. Bimbangkan masalah rumah ni, kami melawat CL buat kali terakhir. Dari situ, seorang kakitangan CL sendiri membuka tembelang CL. Terima kasih juga kerana menyerahkan senarai nama pembeli. Kakitangan itu juga menasihatkan kami menghubungi pembeli lain, dan mengambil tindakan ke atas CL. ada 2 kemungkinan di sini. 1. Dia disuruh berhenti dengan alasan kewangan dan dia tidak berpuas hati. 2. Dia telah insaf kerana selama ini terus membantu CL menipu pembeli-pembeli dengan pelbagai alasan yang direka.

    Akhirnya dalam sibuk menguruskan perjalanan, kami dapat juga menghubungi beberapa pembeli. Ada antara mereka sudah tidak membayar pinjaman, ada yang sudah pindah ke Sarawak dan ada juga yang sebenarnya yang sudah membayar deposit, tapi tidak meneruskan pembelian kerana tahu pasal CL ni.

    Kerana jarak yang jauh, kami berusaha mencari pembeli lain selain menghantar salinan senarai pembeli kepada salah seorang pembeli yang kami berjaya hubungi. Harapan kami, cuba dapat para pembeli bersatu dan dapat menyelesaikan masalah ini. Akhirnya ada pihak yang telah mewujudkan 'yahoo group' bagi Casa Gemilang. Maka di situ lah segala perbincangan untuk aktiviti dan pengumpulan ahli baru dibuat.

    Pada hujung tahun 2009, perjanjian jual beli kami di batalkan oleh pemaju dengan alasan bank tidak membuat bayaran. Kami berasa pelik kerana tiada arahan dari kami untuk hentikan/tangguh pembayaran kepada. Untuk itu menuntut hak kami, seorang peguam telah dilantik. Sehingga kini, kami dalam proses menuntut hak kami, iaitu pampasan yang patut kami terima daripada pemaju atas pembatalan dan juga lewat siap rumah.

    Sekarang kami menunggu. Kami sedia maklum apa jawapan pemaju, tapi ini hanya langkah pertama.

    Setelah lama menunggu...tiada jawapan dari pemaju. Kesimpulan yang boleh dibuat, pemaju dah lari. Kali betul-betul lari.

    Kami mengambil keputusan untuk melantik peguam baru setelah kecewa dengan peguam dulu. Apa taknya, untuk mula kerja nak duit dulu, dah bagi duit keje yg sekejap jadi dekat setahun. Cuba bayangkan, hanya untuk legal opinion dan demand letter kepada pemaju ambil masa dekat setahun. Mana cekapnya dan berbaloikah dengan bayaran RM1000? Tak patut. Peguam baru ni untuk perkhidmatan yang sama dia hanya kenakan RM500 jer. Belum bayar pun dah siap telefon cari maklumat. Tapi kesimpulannya...kalu rasanya tak mampu nak handle kerja dan keluarga (sebab peguam lama kerja dari rumah) baik jangan offer perkhidmatan atau pergi cari kerja yang ada pejabat.

    Nak jadi cerita, peguam baru ni gelak legal opinion peguam lama ni. Katanya macam tak baca/tak paham semua kandungan dokumen perjanjian jual-beli. Memang tak patut sebagai etika kepeguaman, tapi dia pun tak tahan gamaknya.

    Komen dari peguam baru ni nampak gaya macam sama dengan pendapat kami yang mula-mula dulu. Kami sepatutnya buat tuntutan dengan bank yang menyebabkan SPA kami dibatalkan dan bukan memuat tuntutan kepada pemaju. Jelas katanya pemaju tidak melanggar mana-mana terma dalam kontrak (SPA).
    AsaazA

    Khamis, 1 April 2010

    Tak Jujur (aka Tipu)

    Salam,
    Bangsa Melayu paling ramai ditipu. Kenapa mudah sangat ditipu? Apa jenis penipuan terlibat? Berdasarkan pengalaman kesimpulan yang boleh dibuat ialah, kerana melayu mudah percaya, melayu ada pepatah lembut gigi dari lidah, dan melayu mudah rambang mata terutama melibatkan duit atau imbuhan. Tapi tak dinafikan, ada juga bangsa lain yang kena tapi kenapa melayu lebih ramai? Cuba kita fikirkan...

    Tapi pernah tak kita fikir, siapa yang menjadi penipu tu? Melayu sebenarnya yang tipu melayu. Berikut pengalaman aku sebagai mangsa penipuan. Secara kasar, ada yang tidak dilihat sebagai penipuan, tapi bila diperhalusi, ini sebenarnya penipuan terancang.

    Kes 1
    Kami (aku & isteri) membeli rumah dalam pembinaan dalam tahun 2004. Ni kira sebagai harta kedua kami selepas berkahwin, harta pertama ialah kereta. Pada kami, lebih baik duit yang dibayar itu mendapatkan hasil jadi kami beli kerana berasa rugi setiap bulan membayar sewa. Selain itu, terdetik juga untuk memnolong bumiputera melayu yang menguruskan projek dan status tanah sebagai rizab melayu.

    Tapi apakan daya, selepas bermacam-macam helah pemaju, kami sedar (saya & 300 pembeli lain) kami telah ditipu. Sehingga tulisan ini rumah yang dijanjikan hanya tinggal tiang konkrit. Tiada tanda akan lebih dari tiang tu. Lebih malang bagi aku, perjanjian jual beli (S&P) telah dibatalkan kerana pembiaya aku tidak mengeluarkan duit kerana projek tidak berjalan seperti dituntut pemaju.

    Secara kasar nampak bukan penipu, tetapi dengan bermacam helah dan jangkamasa selain daripada hasil perbincangan, kami yakin pemaju adalah penipu. Untuk kebaikan semua, aku war-warkan di sini berkenaan projek perumahan tersebut supaya tiada lagi terkena dengan pemaju ni.

    Projek: Casa Gemilang Servis Apartment
    Tapak: Kg Sg Pusu, Gombak, berdekatan UIA, sebelah Desa Gemilang.
    Pemaju: Capital Lane Sdn Bhd melalui Gemilang Excel Sdn Bhd melalui Koperasi Kakitangan Malaysia Airport Berhad. Bemaju berpejabat di Sri Gombak sebelah Pusat Perubatan Gombak.

    Kes 2
     Kami membeli kereta terpakai. Pelbagai janji mengatakan kereta mampu bertahan sehingga 3 tahun. Namun setahun setengah selepas tu, bermacam masalah muncul dari kereta itu, sehingga akhirnya tersadai di tepi jalan. Kereta yang dibeli dgn harga AUD1900 hanya mampu dijual dengan harga AUD300 saja.

    Pada aku, penjual tak tipu, tp tak jujur. Segala mcam kata-kata manis diluahkan tapi masalah kereta yang sebenarnya tidak pernah diberitahu. Bila komplen, dia kata, biasa la kereta lama, kena amik risiko. Sedap cakap, tapi tak pernah pun dia bagitau apa masalah kereta tu. Macamana kita nak amik risiko kalu kita tak tahu kondisi kereta. Pada aku itu bukan amik risiko itu jerut leher sendiri namanya.

    Kes 3
    Isteri aku membeli tanah, boleh dikira murah la bagi kawasan Bangi. Tujuan untuk menggunakan pinjaman perumahan dan memiliki rumah dengan kawasan. Semua urusan mengikut prosedur betul, termasuk peguam telah dilantik. Bermula bulan April 2009, proses jual beli boleh kata selesai cuma pertukaran nama yang belum dibuat. Tapi pada bulan Jun 2009, dimaklumkan pertukaran nama tak boleh dibuat kerana tanah telah dipindah ke nama orang lain. Maksud aku bukan penjual asal. Macamana boleh jadi begitu? Ni semua hal pembahagian tanah untuk adik beradik disamping nak jual tanah.

    Mengikut perjanjian penjual dah buat salah, jadi dia kena ikut perjanjian la. Bayar balik deposit termasuk denda. Namun nak jadi hal, penual bagi pelbagai alasan bermula dengan buat bayaran, kemudian tukar dengan tanah gantian dan akhirnya setuju buat bayaran. Namun sehingga hanpir setahun masih tiada bayaran dibuat. Bila kita nak bincang bermacam alasan dia bagi. Bila telefon, dia selamba je letak telefon sebelum kita habis cakap. Kalu orang muda cakap dengan orang tua, kita kata kurang ajar. Tapi kalu orang tua yang buat macam tu kat orang muda...apa kita nak panggil?

    Begitu la, antara pengalaman pernah di'tipu'. Bermacam-macam cara dibuat. Kami yang pernah melalui pun terus kena. Entah la, nak kata badi, mungkin juga, mungkin sebab kami mudah percaya orang lain. Harap 3 kisah ni kami terus ingat buat bekalan untuk meneruskan hidup bagi kami dan pembaca sekalian.

    Wassalam

    Isnin, 29 Mac 2010

    Pos basik Penolong Pegawai Farmasi ...akhirnya

    Tahniah....
    Akhirnya post-basic bagi PPF telah tersedia menerima penuntut pertamanya pada bulan Julai 2010. Permohonan telah terbuka kepadad PPF yang layak dan borang boleh diperolehi di http://latihan.moh.gov.my/modules/xt_conteudo/index.php?id=61. Kepada yang layak sila isi borang.

    Walau bagaimanapun, kerana beberapa keadaan, bilangan penyertaan akan kurangkan daripada 25 ke 15 orang sahaja. Namun bilangan tempat dijangka kembali ke 25 orang pada kemasukan bulan Disember nanti.

    Buat pengetahuan, perjuangan mendapatkan kursus post-basic bg PPF telah berlanjutan lebih kurang 10 tahun (mengikut sumber). Jadi ini adalah perjuangan tanpa henti pihak PPF sebagai tanda mereka amat berusaha meningkatkan kemajuan diri dan perkhidmatan.

    Sebagai permulaan bost-basic bagi perkhidmatan aseptik selama 6 bulan dan kursus lain akan menyusul kemudian nanti. Bagi yang mendapat tempat, sila berusaha dan tonjolkan kebolehan anda bagi membuktikan keberkesanan kursus ini.

    Selamat Maju Jaya kepada PPF.

    //Asmarul

    Fasiliti Bilik Bersih

    Pendahuluan
    Bilik bersih menjadi 'peralatan' utama dalam mana-mana perkhidmatan aseptik dan telah menjadi keperluan selepas peraturan dikuatkuasakan oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi (BPF) melalui unit amalan pengilangan baik. Bermula pada 1998 satu bilik bersih yang menepati piawaian Australia telah dibina dan merupakan yang pertama di hospital. Sebelum itu, bilik bersih hanya terdapat dalam industri. Perkembangan piawaian bilik bersih juga telah mengubah rekabentuk dan peralatan dalam bilik bersih. Untuk itu, contoh pertama dengan piawai PIC/S bagi bilik bersih di hospital kerajaan talah dibina di Hospital Selayang.

    Sebelum kita pergi lebih lanjut, lebih baik kita perhatikan pra pembinaan bilik bersih. Cuba fikirkan situasi ini. Pesakit dirujuk ke hospital untuk mendapat rawatan kemoterapi dengan alasan berdekatan dengan tempat tinggal dan perkara ini menjadi kerap. Pada pertama kali, anda telah berbincang dan mendapat bekalan ubat daripada hospital yang merujuk. Akhirnya hospital yang merujuk mengeluh sebab terpaksa membekalkan sumber tenaga dan kewangan mereka untuk pesakit di hospital anda. Apakah dalam situasi ini perkhidmatan CDR diperlukan dan hospital anda perlu ada fasiliti bilik bersih?

    Dalam contoh di atas, masing-masing pihak akan mempunyai alasan sendiri dalam menyokong dan menolak situasi ini. Jadi mari kita hadam maklumat yang tersurat dan tersirat iaitu:

    1. Bilangan pesakit yang menerima rawatan kemoterapi
    2. Bilangan sediaan kemoterapi diberikan
    3. Bilangan kitaran kemoterapi
    4. Kos terlibat langsung dan tidak langsung dalam rawatan
    5. Pegawai perubatan yang  terlibat
    6. Pegawai farmasi yang terlibat
    7. Perancangan hospital dan kementerian
    8. Ruang sedia ada
    9. Kos pembinaan dan pengurusan
    10. Persediaan fizikal dan mental kakitangan
    Pesakit
    Bilangan dan keperluan pesakit mesti diambilkira bagi menunjukkan justifikasi memulakan perkhidmatan. Cuba buat statistik mudah yang menunjukkan bilangan pesakit, jenis rawatan kemoterapi dan ubatan yang terlibat.

    Kos rawatan
    Kemudian cuba dapatkan kos terlibat dalam rawatan. Kos yang mungkin ialah, harga ubat, barangan pakai buang, tenaga kerja (jika bukan kerajaan atau melibatkan kerja lebih masa) dan tidak lupa pengangkutan jika sediaan perlu diambil di hospital lain.

    Pegawai
    Cuba berbincang dengan jabatan terlibat samada doktor akan terus memberi rawatan kemoterapi dan kepakaran doktor terbabit. Adakah terdapat pegawai farmasi yang terlibat dan sedia ditempatkan di perkhidmatan baru ini selain kakitangan sokongan? Jika ada, adakah mereka ini telah menerima latihan mencukupi? Cuba selidik jika pihak hospital dan kementerian mempunyai perancangan dalam rawatan kemoterapi.

    Ruang
    Fasiliti yang dibina perlukan ruang. Ini mungkin melibatkan ubahsuai ruang sedia ada atau binaan fizikal baru yang melibatkan ruang kosong.

    Kos
    Cuba dapatkan kos pembinaan yang mungkin terlibat. Ini boleh dibuat dengan meminta sebutharga daripada kontraktor atau maklumat daripada hospital lain. Selain kos ini, senaraikan juga kos yang akan diperlukan jika perkhidmatan ini diteruskan iaitu perbelanjaan berterusan untuk perkhidmatan ini.

    Jika semua faktor di atas menunjukkan kelebihan kepada perkhidmatan, ini bermakna hospital anda memang memerlukan sebuah fasiliti bilik bersih untuk memberi perkhidmatan.

    Regulasi dan Pengawalan
    Di Malaysia, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) melalui unit Amalan Pengilangan Baik (APB) menjadi pemantau bagi bilik bersih. Sebarang nasihat sebelum pembinaan dan semasa perkhidmatan, perlu mendapat pengesahan daripada Unit APB. Pemantauan mungkin bermula seawal rekabentuk dan pemantauan berterusan secara pentauliahan berkala.


    Konsep Bilik Bersih
    Mudahnya, bilik bersih ialah bilik yang udaranya tidak dicemari oleh pencemar seperti habuk, mikrob atau partikel udara. Namun ditafsirkan secara agak tepat sebagai persekitaran yang terkawal daripada kontaminasi yang ditentukan dengan bilangan partikel bersaiz tertentu dalam meter padu, dibina dan digunakan dengan cara yang mengurangkan pengenalan, pertumbuhan dan pengumpulan partikel dalam sekitaran dengan kawalan parameter lain.

    Antara parameter-parameter bilik bersih ialah bilangan partikel per meter padu, suhu, beza tekanan udara dan kadar pertukaran udara. Panduan dan piawai bg parameter ini akan diulas kemudian nanti.

    Berdasarkan binaan bilik bersih, keadaan mestilah dijamin bersih. Namun penjana partikel utama, iaitu personel, perlu mengetahui tatacara penggunaan bilik bersih bagi menjamin bilik terus bersih samada semasa digunakan atau tidak. Polisi juga mesti untuk kaedah-kaedah pembersihan yang perlu bagi menjamin kualiti bilik bersih terus terpelihara.

    Kesimpulannya, perolehan sebuah bilik bersih mesti mempertimbangkan keadaan seperti di atas. Semua ini berkaitan dengan penggunaan sumber yang terhad dan mendahulukan kepentingan terdahulu supaya nanti tiada pembaziran. Kakitangan juga mestilah telah dilatih terlebih dahulu bagi memberi pemahaman terutama dalam konsep bilik bersih dan juga peranan mereka dalam meneruskan perkhidmatan ini.

    //Asmarul

    Jumaat, 1 Januari 2010

    Tahun 2010

    Tahun 2010 dah datang, dah masuh dekad baru. Tahun  2009 dah pergi. Terasa seperti ditinggalkan begitu sahaja. Tiada apa yang hebat 2009. Mungkin tiada SKT yang perlu diisi, jadi tak nampak usaha dan hasil 2009. Tapi aku masih  tetap berkhidmat untuk keluarga untuk 2 tahun lagi.

    Tahun 2010, aku mungkin akan sambung pelajaran. Penjadualan harian mungkin akan berubah bagi tempoh 2 tahun ni. Aku harapkan sokongan dari isteri dan anak-anak supaya aku boleh membalas sokongan dengan sokongan semula kepada mereka. Aku amat berharap untuk sokongan.

    Selamat Datang 2010.

    asaaza