Sabtu, 3 April 2010

Pemaju Yang Tak Maju (Penipu Plak Tu)

Buat renungan bersama dan ambil iktibar daripada kejadian ini.

Semenjak kahwin kami mula menyewa rumah, bermula di Bukit Jalil. Selepas beberapa lama berkerja, kami yakin dan bercadang untuk membeli rumah sendiri. Maka, hasil pencarian kami, ada satu pameran perumahan di Stadium Nasional Bukit Jalil. Setelah melihat pamplet dan ambil masa sehari untuk bincang, esoknya kami pergi semula ke pameran untuk booking rumah. Rumah jenis Service Apartment. Jenis yang jarang ada di Malaysia.

Setelah 1/2 bayaran booking dibuat di tapak pameran, kami perlu jelaskan 1/2 lagi sebagai confirmation kami. Jadi bayaran perlu dibuat di pejabat jualan Capital Lane (CL) di Sri Gombak. Masalah pertama timbul dimana, nama kami tidak tersenarai dan unit kami beli sebenarnya telah dijual. Maka setelah kami berkeras dan tunjukkan resit sebagai bukti, maka kami ditawarkan unit lain dan hanya perlu jelaskan booking 1/2 je lagi. Kami dimaklumkan bahawa agen jualan telah lari kerana menipu dan laporan polis telah dibuat. Semasa keluar dari pejabat jualan kami terpandang notis mengenai makhluk yang menipu kami. Harapan kami, tiada masalah lain lagi selepas ini.

Kunjungan kedua ke pajabat CL adalah untuk menandatangani Perjanjian JualBeli (S&P) dan pemaju menyediakan khidmat guaman percuma kepada kami. Selepas itu diikuti usaha kami untuk mendapatkan pembiaya. Kami berjaya mendapatkan pembiaya.

Tunggu la kami dari akhir 2004 hingga 2007, bilamana projek masih tak siap, sedangkan dalam perjanjian mesti disiapkan dalam tempoh 36 bulan dari tarikh perjanjian. Selepas sekian lama tiada tunggu, kami mengambil keputusan mendapatkan penjelasan daripada pemaju. Baru diberitahu, projek diarahkan berhenti kerana kejadian tanah runtuh berdekatan. Katanya arahan MPS dan untuk meneruskan projek,CL kena betulkan cerun. Masalah cerun ni sebenarnya dah berlanjutan sejak sekian lama. Lama tu bermaksud sejak pembinaan rumah teres lagi iaitu fasa 1,2 & 3. Jadi perkara ini terus tergendala. Bila ditanya apa tindakan? CL jawab sedang berusaha untuk mendapat pelepasan daripada MPS. Bila ditanya kenapa tak betulkan je cerun tu? Jawabnya, tak mampu kos RM2juta, mana CL ada duit.Lagipun tu tanah kerajaan. Kiranya sebarang pertanyaan mesti akan ada jawapan yang kadang-kadang terasa jawapan nak mengelak atau bahasa lainnya alasan.

Penantian berterusan sehingga isteri saya ingin menyambung pelajaran. Kami sekeluarga akan bermukim di Australia selama 3 tahun. Bimbangkan masalah rumah ni, kami melawat CL buat kali terakhir. Dari situ, seorang kakitangan CL sendiri membuka tembelang CL. Terima kasih juga kerana menyerahkan senarai nama pembeli. Kakitangan itu juga menasihatkan kami menghubungi pembeli lain, dan mengambil tindakan ke atas CL. ada 2 kemungkinan di sini. 1. Dia disuruh berhenti dengan alasan kewangan dan dia tidak berpuas hati. 2. Dia telah insaf kerana selama ini terus membantu CL menipu pembeli-pembeli dengan pelbagai alasan yang direka.

Akhirnya dalam sibuk menguruskan perjalanan, kami dapat juga menghubungi beberapa pembeli. Ada antara mereka sudah tidak membayar pinjaman, ada yang sudah pindah ke Sarawak dan ada juga yang sebenarnya yang sudah membayar deposit, tapi tidak meneruskan pembelian kerana tahu pasal CL ni.

Kerana jarak yang jauh, kami berusaha mencari pembeli lain selain menghantar salinan senarai pembeli kepada salah seorang pembeli yang kami berjaya hubungi. Harapan kami, cuba dapat para pembeli bersatu dan dapat menyelesaikan masalah ini. Akhirnya ada pihak yang telah mewujudkan 'yahoo group' bagi Casa Gemilang. Maka di situ lah segala perbincangan untuk aktiviti dan pengumpulan ahli baru dibuat.

Pada hujung tahun 2009, perjanjian jual beli kami di batalkan oleh pemaju dengan alasan bank tidak membuat bayaran. Kami berasa pelik kerana tiada arahan dari kami untuk hentikan/tangguh pembayaran kepada. Untuk itu menuntut hak kami, seorang peguam telah dilantik. Sehingga kini, kami dalam proses menuntut hak kami, iaitu pampasan yang patut kami terima daripada pemaju atas pembatalan dan juga lewat siap rumah.

Sekarang kami menunggu. Kami sedia maklum apa jawapan pemaju, tapi ini hanya langkah pertama.

Setelah lama menunggu...tiada jawapan dari pemaju. Kesimpulan yang boleh dibuat, pemaju dah lari. Kali betul-betul lari.

Kami mengambil keputusan untuk melantik peguam baru setelah kecewa dengan peguam dulu. Apa taknya, untuk mula kerja nak duit dulu, dah bagi duit keje yg sekejap jadi dekat setahun. Cuba bayangkan, hanya untuk legal opinion dan demand letter kepada pemaju ambil masa dekat setahun. Mana cekapnya dan berbaloikah dengan bayaran RM1000? Tak patut. Peguam baru ni untuk perkhidmatan yang sama dia hanya kenakan RM500 jer. Belum bayar pun dah siap telefon cari maklumat. Tapi kesimpulannya...kalu rasanya tak mampu nak handle kerja dan keluarga (sebab peguam lama kerja dari rumah) baik jangan offer perkhidmatan atau pergi cari kerja yang ada pejabat.

Nak jadi cerita, peguam baru ni gelak legal opinion peguam lama ni. Katanya macam tak baca/tak paham semua kandungan dokumen perjanjian jual-beli. Memang tak patut sebagai etika kepeguaman, tapi dia pun tak tahan gamaknya.

Komen dari peguam baru ni nampak gaya macam sama dengan pendapat kami yang mula-mula dulu. Kami sepatutnya buat tuntutan dengan bank yang menyebabkan SPA kami dibatalkan dan bukan memuat tuntutan kepada pemaju. Jelas katanya pemaju tidak melanggar mana-mana terma dalam kontrak (SPA).
AsaazA

Tiada ulasan: