Isnin, 29 Mac 2010

Pos basik Penolong Pegawai Farmasi ...akhirnya

Tahniah....
Akhirnya post-basic bagi PPF telah tersedia menerima penuntut pertamanya pada bulan Julai 2010. Permohonan telah terbuka kepadad PPF yang layak dan borang boleh diperolehi di http://latihan.moh.gov.my/modules/xt_conteudo/index.php?id=61. Kepada yang layak sila isi borang.

Walau bagaimanapun, kerana beberapa keadaan, bilangan penyertaan akan kurangkan daripada 25 ke 15 orang sahaja. Namun bilangan tempat dijangka kembali ke 25 orang pada kemasukan bulan Disember nanti.

Buat pengetahuan, perjuangan mendapatkan kursus post-basic bg PPF telah berlanjutan lebih kurang 10 tahun (mengikut sumber). Jadi ini adalah perjuangan tanpa henti pihak PPF sebagai tanda mereka amat berusaha meningkatkan kemajuan diri dan perkhidmatan.

Sebagai permulaan bost-basic bagi perkhidmatan aseptik selama 6 bulan dan kursus lain akan menyusul kemudian nanti. Bagi yang mendapat tempat, sila berusaha dan tonjolkan kebolehan anda bagi membuktikan keberkesanan kursus ini.

Selamat Maju Jaya kepada PPF.

//Asmarul

Fasiliti Bilik Bersih

Pendahuluan
Bilik bersih menjadi 'peralatan' utama dalam mana-mana perkhidmatan aseptik dan telah menjadi keperluan selepas peraturan dikuatkuasakan oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi (BPF) melalui unit amalan pengilangan baik. Bermula pada 1998 satu bilik bersih yang menepati piawaian Australia telah dibina dan merupakan yang pertama di hospital. Sebelum itu, bilik bersih hanya terdapat dalam industri. Perkembangan piawaian bilik bersih juga telah mengubah rekabentuk dan peralatan dalam bilik bersih. Untuk itu, contoh pertama dengan piawai PIC/S bagi bilik bersih di hospital kerajaan talah dibina di Hospital Selayang.

Sebelum kita pergi lebih lanjut, lebih baik kita perhatikan pra pembinaan bilik bersih. Cuba fikirkan situasi ini. Pesakit dirujuk ke hospital untuk mendapat rawatan kemoterapi dengan alasan berdekatan dengan tempat tinggal dan perkara ini menjadi kerap. Pada pertama kali, anda telah berbincang dan mendapat bekalan ubat daripada hospital yang merujuk. Akhirnya hospital yang merujuk mengeluh sebab terpaksa membekalkan sumber tenaga dan kewangan mereka untuk pesakit di hospital anda. Apakah dalam situasi ini perkhidmatan CDR diperlukan dan hospital anda perlu ada fasiliti bilik bersih?

Dalam contoh di atas, masing-masing pihak akan mempunyai alasan sendiri dalam menyokong dan menolak situasi ini. Jadi mari kita hadam maklumat yang tersurat dan tersirat iaitu:

  1. Bilangan pesakit yang menerima rawatan kemoterapi
  2. Bilangan sediaan kemoterapi diberikan
  3. Bilangan kitaran kemoterapi
  4. Kos terlibat langsung dan tidak langsung dalam rawatan
  5. Pegawai perubatan yang  terlibat
  6. Pegawai farmasi yang terlibat
  7. Perancangan hospital dan kementerian
  8. Ruang sedia ada
  9. Kos pembinaan dan pengurusan
  10. Persediaan fizikal dan mental kakitangan
Pesakit
Bilangan dan keperluan pesakit mesti diambilkira bagi menunjukkan justifikasi memulakan perkhidmatan. Cuba buat statistik mudah yang menunjukkan bilangan pesakit, jenis rawatan kemoterapi dan ubatan yang terlibat.

Kos rawatan
Kemudian cuba dapatkan kos terlibat dalam rawatan. Kos yang mungkin ialah, harga ubat, barangan pakai buang, tenaga kerja (jika bukan kerajaan atau melibatkan kerja lebih masa) dan tidak lupa pengangkutan jika sediaan perlu diambil di hospital lain.

Pegawai
Cuba berbincang dengan jabatan terlibat samada doktor akan terus memberi rawatan kemoterapi dan kepakaran doktor terbabit. Adakah terdapat pegawai farmasi yang terlibat dan sedia ditempatkan di perkhidmatan baru ini selain kakitangan sokongan? Jika ada, adakah mereka ini telah menerima latihan mencukupi? Cuba selidik jika pihak hospital dan kementerian mempunyai perancangan dalam rawatan kemoterapi.

Ruang
Fasiliti yang dibina perlukan ruang. Ini mungkin melibatkan ubahsuai ruang sedia ada atau binaan fizikal baru yang melibatkan ruang kosong.

Kos
Cuba dapatkan kos pembinaan yang mungkin terlibat. Ini boleh dibuat dengan meminta sebutharga daripada kontraktor atau maklumat daripada hospital lain. Selain kos ini, senaraikan juga kos yang akan diperlukan jika perkhidmatan ini diteruskan iaitu perbelanjaan berterusan untuk perkhidmatan ini.

Jika semua faktor di atas menunjukkan kelebihan kepada perkhidmatan, ini bermakna hospital anda memang memerlukan sebuah fasiliti bilik bersih untuk memberi perkhidmatan.

Regulasi dan Pengawalan
Di Malaysia, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) melalui unit Amalan Pengilangan Baik (APB) menjadi pemantau bagi bilik bersih. Sebarang nasihat sebelum pembinaan dan semasa perkhidmatan, perlu mendapat pengesahan daripada Unit APB. Pemantauan mungkin bermula seawal rekabentuk dan pemantauan berterusan secara pentauliahan berkala.


Konsep Bilik Bersih
Mudahnya, bilik bersih ialah bilik yang udaranya tidak dicemari oleh pencemar seperti habuk, mikrob atau partikel udara. Namun ditafsirkan secara agak tepat sebagai persekitaran yang terkawal daripada kontaminasi yang ditentukan dengan bilangan partikel bersaiz tertentu dalam meter padu, dibina dan digunakan dengan cara yang mengurangkan pengenalan, pertumbuhan dan pengumpulan partikel dalam sekitaran dengan kawalan parameter lain.

Antara parameter-parameter bilik bersih ialah bilangan partikel per meter padu, suhu, beza tekanan udara dan kadar pertukaran udara. Panduan dan piawai bg parameter ini akan diulas kemudian nanti.

Berdasarkan binaan bilik bersih, keadaan mestilah dijamin bersih. Namun penjana partikel utama, iaitu personel, perlu mengetahui tatacara penggunaan bilik bersih bagi menjamin bilik terus bersih samada semasa digunakan atau tidak. Polisi juga mesti untuk kaedah-kaedah pembersihan yang perlu bagi menjamin kualiti bilik bersih terus terpelihara.

Kesimpulannya, perolehan sebuah bilik bersih mesti mempertimbangkan keadaan seperti di atas. Semua ini berkaitan dengan penggunaan sumber yang terhad dan mendahulukan kepentingan terdahulu supaya nanti tiada pembaziran. Kakitangan juga mestilah telah dilatih terlebih dahulu bagi memberi pemahaman terutama dalam konsep bilik bersih dan juga peranan mereka dalam meneruskan perkhidmatan ini.

//Asmarul